Commentary
Commentary

Pendapat | Rakyat Malaysia, pedulikah kita (untuk mengundi)?

Are we burying our heads in the sand? Cover art by Darsh Kanda
Are we burying our heads in the sand? Cover art by Darsh Kanda

May 26, 2022

Days
Hours
Minutes
Seconds
Rentetan peristiwa sejak kebelakangan ini menimbulkan kegusaran bahawa rasuah endemik, penyalahgunaan kuasa dan kegagalan institusi sedang menjahanamkan negara ini. Kata bekas presiden Badan Peguam Malaysia, AMBIGA SREENEVASAN, negara kita dalam bahaya jika kita tidak bertindak sekarang.

*Diterjemahkan oleh Jimadie Shah Othman dan M Fakhrull Halim

“Tiada gunanya bercakap tentang kepentingan institusi, urus tadbir dan terutamanya hak asasi. Orang hanya peduli dengan isu keperluan harian dan bukan konsep yang mereka tidak faham!”

Sentimen ini selalu saya dengar. Kebanyakan daripada pihak yang bergelumang dengan politik yang percaya bahawa untuk mengambil hati rakyat, kena uruskan masalah mereka–antaraya keperluan harian seperti kos hidup dan gaji. Oleh itu, fokus mereka (terutamanya menjelang pilihan raya umum ke-15) adalah untuk meringankan beban harian, contohnya dengan pemberian bantuan.

Jangan salah sangka. Saya tidak menentang usaha meringankan bebab rakyat pada bila-bila masa pun. Bagaimanapun, institusi yang kukuh, hak asasi dan urus tadbir yang baik penting jika kita mahu melangkah maju sebagai sebuah negara dan mempertingkatkan kualiti hidup rakyat dalam tempoh yang lama.

Lihat saja tahun-tahun lepas. Kegagalan menguruskan banjir Disember lalu menyebabkan kerugian harta benda dan korban nyawa. Ia disebabkan oleh urus tadbir yang lemah serta kegagalan institusi. Perkara ini dipercayai diburukkan lagi dengan kemusnahan alam sekitar dan pemusnahan hutan secara berleluasa yang menyebabkan tragedi tanah runtuh.

Ingat, ingat

Artis grafik politik Fahmi Reza ditekan banyak kali, juga peserta acara nyalaaan lilin dan perhimpunan aman lain. Semua ini berpunca daripada terhakisnya hak asasi kebebasan bersuara dan berhimpun. Dalam kes Fahmi, pemimpin kita tak faham satira!

Di Kelantan, pemusnahan tanah adat Orang Asli dan pemusnahan alam di Gua Musang bagi memberi laluan kepada projek empangan hidro-elektrik  juga berpunca daripada kegagalan institusi. Penjarahan tanah petani yang berdekad-dekad digunakan untuk bercucuk tanam menyebakan melemahnya hak asasi serta mengancam jaminan makanan.

Tetapi berdiri tegak dalam senarai kegagalan institusi kita adalah rasuah endemik, yang menghancurkan jiwa negara dan menjadikan kita jauh lebih rendah daripada apa yang sepatutnya.

Perlembagaan Persekutuan, hak asasi manusia, kebebasan asas dan institusi yang kukuh bukan hanya untuk perbincangan segelintir orang.

Kesannya bukan hanya pada isu keperluian harian tetapi hidup dan kewujudan kita. Kita adalah negara yang dibina atas landasan kedaulatan undang-undang dengan sistem urus tadbir yang mesti tertakluk padanya. Kita juga harus mengambil kira tanggungjawab di peringkat antarabangsa.

Tetapi berdiri tegak dalam senarai kegagalan institusi kita adalah rasuah endemik, yang menghancurkan jiwa negara dan menjadikan kita jauh lebih rendah daripada apa yang sepatutnya.

Gempa landa institusi

Istana Kehakiman di Putrajaya. Gambar oleh Fahrul Azmi di Unsplash

Institusi kita penting. Justeru itu kita semua harus melindungi dan mempertahankannya. Institusi yang kukuh membuatkan kita selamat. Institusi penting ketika terdapat pihak yang mencari kepentingan peribadi dan kuasa.

Dalam beberapa minggu terakhir ini, kita lihat gempa melanda dua institusi penting dalam negara, iaitu badan kehakiman (tonggak ketiga kerajaan dan pelindung rakyat) dan Suruhanjaya Sekuriti, yang mengawal selia dan melindungi pasaran modal dan pelaburan negara,

Sebagai seorang yang melalui krisis kehakiman 1988 dan serangan terhadap kebebasan asasi, saya bimbang kita diheret semula ke hari-hari gelap itu.

Institusi-institusi itu diserang hanya kerana menjalankan fungsinya selari dengan perlembagaan. Institusi-institusi lain kelihatan seperti sudah membantu dan bersubahat dengan pelaku kesalahan.

Sekumpulan perompak sedang berusaha sebahabis baik kerana kesuntukan masa. Bagi sesetengan orang, ia masa untuk penjara. Bagi orang lain, namanya pilihan raya.

Seseorang hanya perlu bertanya, siapa yang mendapat manfaat daripada semua ini dan siapa di belakang mereka.

Never Be Out Of The Loop Again

Get daily morning briefs on Malaysian news with our Between The Lines newsletter

Harga sebuah kejujuran

Tragedinya sekarang, orang yang jujur dan buat kerja dipersoalkan. Ia dilakukan oleh pihak yang tidak mengerti maksud kejujuran.

Jika kita membenarkan orang yang jujur ditekan dan dibuli, apa harga diri kita?

Apakah ia menjadikan kita turut bersubahat? 

Justeru, bolehkah sesiapa mahu menyalahkan orang-orang jujur ini apabila mereka tidak mahu memegang jawatan dalam kerajaan? 

Apa yang dapat dilihat, jika pada masa lalu kegiatan-kegiatan keji ini sentiasa cuba diselindungi, tetapi kini ia dilakukan secara terang-terangan. Tiada usaha pun untuk menyembunyikan onar yang mereka perlakukan. 

Mereka tahu rakyat Malaysia sudah penat. Bahkan mungkin rakyat sudah lali selepas krisis Covid-19, banjir, dan trauma politik yang melanda kita sejak PRU14. Mereka mengambil kesempatan atas sikap berdiam diri rakyat. 

Apabila bercakap soal institusi, saya akan turut menyentuh soal obligasi antarabangsa, terutamanya apabila Malaysia mengisi salah satu kerusi dalam Majlis Hak Asasi Manusia buat kali ketiga. 

Kata Gandhi, “Ukuran sebenar sesebuah masyarakat adalah pada cara bagaimana ia melayan ahli masyarakatnya yang paling rentan.” Mengangkat golongan paling lemah dalam sesuatu masyarakat ke tahap lebih baik, akan mengangkat keseluruhan masyarakat itu. Golongan tersebut termasuklah gelandangan, pelarian, LGBTQ, pendatang dan komuniti-komuniti lain. Bagaimana cara kita melayan mereka memberikan gambaran terhadap nilai kita sebagai sebuah masyarakat. 

Mengejutkan sekali, meskipun kita mengisi kerusi di Majlis Hak Asasi Manusia, layanan kita terhadap komuniti rentan adalah cukup teruk, bahkan sangat memalukan dalam kebanyakan situasi. Malaysia harus menjadi matang dan turut serta bersama komuniti antarabangsa dengan menandatangani lebih banyak konvensyen antarabangsa dan menjayakannya.

Jika kita membenarkan orang yang jujur ditekan dan dibuli, apa harga diri kita?

Kembali ke masa lalu, atau ubah masa depan

Mujurlah, warga marhaen telah membuktikan bahawa mereka mampu menjayakan usaha-usaha kemanusiaan yang hebat. Ketika negara bergelut dalam krisis, rakyat tangkas bertindak, bahkan mendahului pihak berkuasa. “Kita Jaga Kita” menyaksikan bagaimana rakyat Malaysia membantu semua orang tanpa mengira warga kulit, kepercayaan mahupun agama. 

Pakatan Harapan (PH) memang memiliki cacat-celanya yang tersendiri. Saya sendiri sering lantang menegur ketika gabungan itu berkuasa (contohnya boleh dilihat di sini dan di sini). Pun begitu, kerana PH-lah kita kini mempunyai ketua hakim negara yang berani dan jujur, serta badan kehakiman yang kuat. 

Kita mempunyai Suruhanjaya Sekuriti yang kuat. Kita juga menyaksikan ramai orang yang kompeten, jujur dan berkelayakan tinggi dilantik memegang jawatan-jawatan penting, termasuk ramai daripada golongan wanita. Kebanyakan daripada mereka dibuang selepas kerajaan PH tumbang. 

Adakah kita bersedia untuk kembali ke zaman gelap? Saya tidak rasa begitu. Oleh itu, kita mesti sentiasa berwaspada dalam melindungi institusi kita. Kita mesti ambil peduli. Jangan lupa, kita telah membawa perubahan pada 2018 apabila institusi kita terjejas. Kita boleh melakukannya sekali lagi. Kita mesti cukup peduli untuk MENGUNDI pada pilihan raya akan datang, demi negara yang lebih baik.

Ingat, setiap daripada anda yang berusia 18 tahun ke atas secara automatik didaftarkan sebagai pengundi. Anda hanya perlu melaksanakan hak yang begitu berharga itu. 

Mengenang Marc Lourdes, yang sentiasa peduli.

*Tulisan ini ialah pendirian penulis/penyumbang. Ia diterbitkan pertama kali dalam bahasa Inggeris pada Mei 18, 2022. Anda boleh membaca versi asal di sini.

Picture of Ambiga Sreenevasan

Ambiga Sreenevasan

AMBIGA SREENEVASAN ialah peguam, aktivis dan optimis. Dia pernah berkhidmat sebagai presiden Majlis Peguam dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (HAKAM) serta bekas pengerusi bersama Bersih.

Follow @Ambiga_S
Share this post with your friends
Never be out of the loop

Sign up for free to receive special reports and columns like this

Between the Lines

Want more? BTL’s the name, providing context’s the game.

So sign up for free to receive special reports and columns like this one straight to email, plus a 1-month complimentary subscription to our bi-weekly newsletter! Cancel anytime.

Support independent media. Subscribe to our newsletter, where we summarise the daily news with wit and insights » Join here.
Share via
Copy link
Powered by Social Snap